Putrajaya: Kerajaan sememangnya sudah melaksanakan pendidikan percuma secara berterusan menerusi pelbagai biasiswa dan bantuan terutama bagi orang kelainan upaya (OKU), kurang berkemampuan serta pelajar cemerlang. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perkara itu dibuktikan melalui peruntukan tahunan kerajaan bagi mengikuti pengajian sepenuh atau separuh masa, sama ada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS).
Janji kerajaan
“Ini janji kerajaan bagi mendahulukan rakyat dengan mengiktiraf kecemerlangan dan menyanjung usaha gigih pelajar sebagai dorongan kepada mereka untuk meningkatkan pencapaian. Justeru, jangan sia-siakan hak berpendidikan yang sudah diberi ini, sebaliknya galas amanah dengan penuh insaf dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ’Impianku Ke Menara Gading’, di sini serta turut menyampaikan anugerah kepada 48 pelajar cemerlang lepasan STPM, Matrikulasi dan Asasi, termasuk pelajar OKU, luar bandar, orang Asli dan atlit.
Pelajar cemerlang
Katanya, biasiswa kepada pelajar cemerlang kini dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan melalui program MyBrainSc, manakala pelajar memperoleh ijazah kelas pertama dengan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpeluang mendapat pendidikan percuma selepas pinjaman ditukar kepada biasiswa.
Mohamed Khaled berkata, tahun ini saja, kementeriannya memperuntukkan kira-kira RM4.3 juta bagi membantu 877 OKU termasuk perbelanjaan wang saku tidak melebihi RM5,000 atau RM20,000 sepanjang tempoh pengajian, selain biasiswa sukan RM10 juta untuk membiayai pengajian kira-kira 150 atlit cemerlang dalam bidang sukan masing-masing.
Selain biasiswa disediakan kementerian, pelajar juga dibiaya dan ditaja sumber lain termasuk sesetengah universiti yang menyediakan Tabung Endowment seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di mana pelajar yang layak diberikan tempat secara percuma.
Tajaan penuh di UPNM
Pelajar kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pula, katanya, mendapat tajaan penuh Kementerian Pertahanan yang meliputi kos pengajian, penginapan dan latihan ketenteraan, selain gaji tetap setiap bulan antara RM1,200 hingga RM1,500 serta bayaran imbuhan tetap, elaun dan bonus tahunan.
Beliau berkata, pada tahun ini, seramai 13,484 pelajar luar bandar lepasan STPM, Matrikulasi dan Pusat Asasi berjaya mendapat tempat di IPTA, sekali gus membuktikan golongan itu sentiasa mendapat perhatian kerajaan.
Sedia wang saku RM5,000
PUTRAJAYA: Pemberian pelbagai biasiswa, tajaan dan bantuan kewangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk kumpulan istimewa daripada kalangan orang kelainan upaya (OKU) bukti jelas komitmen kerajaan dalam menyediakan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemberian biasiswa dan bantuan itu adalah keputusan dan janji kerajaan untuk mendahulukan rakyat, mengiktiraf kecemerlangan dan menyanjung usaha gigih pelajar.
“Sebagai contoh, bagi golongan OKU yang mengikuti pengajian sepenuh masa di IPT tempatan, kementerian menyediakan bantuan kewangan meliputi perbelanjaan yuran pengajian dan wang saku tidak melebihi RM5,000 setahun atau RM20,000 sepanjang pengajian.
“Malah, sepanjang tahun ini dianggarkan peruntukan sebanyak RM4.3 juta disalurkan untuk bantuan kewangan kepada 877 pelajar OKU di IPT awam dan swasta, sama ada membabitkan pengajian sepenuh masa atau separuh masa,” katanya ketika berucap merasmikan program Impianku ke Menara Gading, di sini, semalam.
Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada kira-kira 50 pelajar yang meraih kejayaan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/matrikulasi dan asasi.
Mohamed Khaled berkata, atlet yang cemerlang di peringkat negara dan antarabangsa juga diberi kemudahan sama, malah tahun ini pihak kementerian menyediakan biasiswa sukan berjumlah RM10 juta untuk membiayai pengajian 150 atlet cemerlang.
Katanya, selain biasiswa disediakan kementerian, pelajar IPT juga diberikan pembiayaan dan tajaan daripada sumber lain seperti tabung biasiswa endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disediakan kepada pelajar cemerlang di peringkat ijazah pertama universiti itu.